Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek bagaimanapun berkata, sebelum menetapkan harga tersebut, kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga kos produk dunia dan juga kadar pertukaran mata wang semasa.
Katanya, kerajaan akan memantau harga pasaran petrol dan diesel dunia pada 20 hingga 31 November ini dan jumlah sebenarnya akan menentukan purata harga runcit pada bulan Disember melalui kaedah pengapungan terkawal.
“Sebagai contoh, pada 1 hingga 19 November lalu purata harga RON95 di bawah kaedah mekanisme harga automatik (APM) menurun kepada RM2.27 seliter, yang mana lebih rendah daripada harga runcit RM2.30 seliter.
“Jika trend ini berlarutan dijangkakan harga runcit RON95 bagi bulan depan akan dikurangkan sewajarnya berdasarkan formula terbabit,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman perkembangan terbaru pelaksanaan harga minyak petrol dan diesel, di sini hari ini.
Beliau berkata, menerusi kaedah tersebut, harga kedua-dua bahan bakar itu akan ditetapkan sebagaimana harga runcit RON97 yang telah dilakukan sejak Julai 2010.
Berikutan itu, katanya, penetapan harga petrol RON95 dan diesel akan bergantung kepada turun atau naik harga pasaran minyak mentah dunia.
“Harga runcit produk petroleum di negara ini ditentukan melalui kaedah APM sejak tahun 1983 iaitu kerajaan akan menetapkan harga runcit pada satu paras tertentu yang mana perubahan kos produk tidak mengubah harga runcit.
“Walau bagaimanapun, melalui pengapungan terkawal ini purata perubahan kos produk akan menentukan penetapan harga bagi bulan berikutnya. Ini bermakna jika harga pasaran minyak mentah dunia meningkat, harga runcit RON95 dan diesel juga akan mening­kat,” katanya.
Dalam pada itu, Hasan berkata, keputusan pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel itu dibuat berikutan kejayaan pelaksanaan pengapungan terkawal harga petrol RON97 dan bagi memastikan rakyat menikmati manfaat sepenuhnya dengan penurunan harga minyak mentah dunia.
Difahamkan, sekiranya harga naik, kerajaan akan mengambil langkah mengurangkan beban rakyat.
Pada 2 Oktober lalu, kerajaan telah mengumumkan subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter dengan harga runcit baharu bagi kedua-dua bahan api itu masing-masing sebanyak RM2.30 seliter dan RM2.20 seliter.
Laporan BBC News yang memetik Agensi Tenaga Antarabangsa menyatakan trend harga minyak dijangka terus menurun dalam tempoh dua tahun lagi disebabkan berlakunya kekurangan permintaan dalam pasaran.
Harga minyak mentah Brent, yang menjadi tanda harga terhadap pasaran minyak dunia, kini diniagakan pada harga AS$78 setong, harga terendah dalam tempoh empat tahun.