PETALING JAYA - Harga petrol RON95 mungkin tiga sen lebih murah pada RM2.27 seliter bermula 1 Dis, sekiranya harga purata minyak mentah dunia berada sekitar US$80 setong sepanjang November (US$1=RM3.35).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, pengguna boleh mengharapkan harga bahan api yang lebih murah memandangkan penurunan harga minyak mentah dunia sekarang dijangka berterusan sehingga dua tahun lagi.

"Tetapi sekiranya harga minyak dunia meningkat semula, sistem pengapungan terkawal akan turut mengikut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan 50 pelajar animasi di bawah program 'Peneraju Skil Iltizam' di sini, hari ini.

Kerajaan, pada 1 Disember, akan menghapuskan subsidi bagi petrol RON95 dan diesel dan menggantikannya dengan sistem pengapungan terkawal.

Ini berikutan harga bahan api global yang lebih rendah daripada harga pam bagi RON95 dan diesel. Harga RON97 ditentukan oleh sistem pengapungan terkawal sejak Julai 2010. - Bernama