Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri bagaimanapun berkata sehingga kini, hanya empat daerah masih terjejas dengan banjir iaitu Kota Baharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat manakala keadaan banjir di daerah Bachok dan Pasir Puteh sudah pulih.
"Walaupun berlaku sedikit pertambahan mangsa banjir, namun secara keseluruhannya keadaan banjir bertambah baik. Pusat pemindahan di Bachok dan Pasir Puteh sudah ditutup sepenuhnya manakala 17 pusat pemindahan dibuka di Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat," katanya.
Beliau berkata daripada keseluruhan pusat pemindahan itu, Pasir Mas mencatatkan jumlah pusat pemindahan terbanyak iaitu 11 diikuti Kota Baharu dengan tiga buah pusat, Tumpat (2) dan Tanah Merah (1).
Di Pasir Mas, empat laluan ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan Pohon Tanjung-Meranti, Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama) Kampung Siram, Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu dan Jalan Banggol Kulim Lokasi 2, manakala Km24, Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang hanya ditutup kepada kenderaan ringan.
Di Tumpat, Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti ditutup kepada semua kenderaan.
Sementara itu, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada pada paras 10.18 meter, yang melebihi paras bahaya 9 meter, namun, paras air sungai itu terus menunjukkan penurunan secara perlahan-lahan sejak semalam, kata jurucakap itu.
Di KUALA TERENGGANU, keadaan banjir semakin pulih dengan jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan berkurangan kepada 461 orang pagi ini berbanding 798 orang petang semalam.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, mereka terdiri masing-masing tujuh orang di Hulu Terengganu dan Kamaman, Kuala Terengganu (41), Marang (34) dan sebanyak 372 di Setiu.
Katanya lebih ramai mangsa banjir dijangka dibenarkan pulang hari ini memandangkan keadaan cuaca yang semakin baik manakala paras air sungai di negeri ini keseluruhannya masih bertahan dan berada pada paras biasa.
Hampir 3,000 penduduk dipindahkan sejak banjir melanda Terengganu, Ahad lalu.
- BERNAMA
Apa pendapat anda ? Jangan lupa bagi komen di bawah ni .....
No comments:
Post a Comment