KUALA TERENGGANU: “Saya terjaga daripada tidur selepas bermimpi seorang wanita memberikan tiga helai kain putih sebelum mengerjakan solat Tahajud untuk menghilangkan rasa tidak sedap hati, minggu lalu.
“Bagaimanapun, saya tak sangka mimpi itu bagaikan petanda saya akan kehilangan tiga ahli keluarga tersayang serentak,” kata Siti Fauziah Mohamad Amin, 46, isteri kepada Abdul Razak Othman, 49, yang maut bersama anaknya, Siti Suraya Abdul Razak, 14, dan kakak ipar, Fathilah Othman, 53, dalam kemalangan di Kilometer 62, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Felda Chalok Rahmat, Setiu, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang, Abdul Razak bersama enam penumpang, termasuk Siti Fauziah, tiga anaknya dan dua kakaknya dalam perjalanan dari Taman Pauh Indah, Permatang Pauh, Seberang Perai, ke rumah anak saudaranya, Elmilia Nabila Ishak, 25, di Gong Badak, di sini, untuk melawatnya yang baru melahirkan anak sulung.
Kejadian malang itu dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Avanza dipandu Abdul Razak bergesel dengan sebuah Toyota Hilux yang datang dari arah Kuala Terengganu menuju Kota Bharu ketika melalui sebuah selekoh di tempat kejadian.
Pertembungan itu menyebabkan Abdul Razak, Siti Suraya dan Fathilah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian dalaman badan, manakala Siti Fauziah yang patah tangan kiri dan cedera di kepala dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, manakala tiga lagi penumpang, Rosidah Othman, 55, Mohamad Adam Abdul Razak, 16, dan Siti Raihana Abdul Razak, 12, dirawat di Hospital Setiu.
Bagaimanapun, pemandu Toyota Hilux terbabit yang berusia 37 tahun bersama isteri dan dua anaknya tidak cedera.
Menurut Siti Fauziah, dia tidak pasti bagaimana kemalangan berlaku kerana ketika kejadian tidur sebelum mendapati dirinya berada di hospital sebaik tersedar.
“Saya tidak dapat menahan sebak selepas dimaklumkan mengenai kematian suami, anak dan kakak ipar.
“Apabila diingatkan kembali, kain putih yang diberi seorang wanita itu mungkin membawa maksud tertentu. Sebelum ini, saya ingatkan mimpi itu membawa petanda saya akan mati, rupa-rupanya akan kehilangan tiga ahli keluarga serentak,” katanya ketika ditemui di Wad Pembedahan Wanita HSNZ, di sini, semalam.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia juga terkilan kerana hajat arwah suaminya untuk melawat anak saudara yang baru melahirkan anak sulung di Gong Badak, di sini, tidak kesampaian.
“Arwah sememangnya beria-ria hendak bertemu ahli keluarga baru kami itu tetapi apakan daya, Tuhan lebih menyayanginya.
“Saya masih terkejut dengan kejadian ini, apatah lagi kehilangan tiga nyawa serentak. Pemergian mereka memberi kesan besar kepada kehidupan kami. Bagaimanapun, saya tetap reda dengan pemergian mereka,” katanya sebak.
Sementara itu, suami Emilia Nabila, Shairyzal Mohamad Azizan, 30, berkata dia bergegas ke Hospital Setiu sebaik dimaklumkan mengenai kejadian menimpa ahli keluarga isterinya.
“Saya menghubungi arwah jam 4.30 petang pada hari kejadian untuk bertanyakan lokasi mereka. Ketika itu, anak arwah, Siti Raihana memberitahu mereka akan sampai tidak lama lagi.
“Namun, saya mula rasa tidak sedap hati apabila panggilan dibuat tidak dijawab sebelum seseorang menghubungi saya menggunakan telefon arwah dan memaklumkan mengenai kemalangan itu,” katanya.-METRO
Apa pendapat anda ? Jangan lupa bagi komen di bawah ni .....
No comments:
Post a Comment