Dua kedai makan yang dimiliki oleh warga Afrika di Desa Aman Puri dan Metro Prima di Kepong di sini akhirnya diserbu Jabatan Imigresen awal pagi semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata, dalam serbuan itu seramai 19 warga Nigeria termasuk pekerja kedai makan terbabit ditahan atas kesalahan tidak mempunyai permit kerja yang sah.
Menurutnya, kedai makan di Desa Aman Puri, pihaknya mendapati ia dikendalikan oleh seorang warga Afrika menggunakan permit isterinya yang juga seorang warga tempatan.
"Warga Afrika itu didapati mempunyai dokumen perjalanan yang sah tetapi ada dalam kalangan pekerja dan pelanggannya tidak ada dokumen yang sah telah ditahan," ujarnya di sini semalam.
Menurut James Musa lagi, seorang pemilik restoran di Metro Prima pula dikesan memasuki negara ini menggunakan pas pelajar namun kemudian berkahwin dengan rakyat tempatan sebelum menjalankan perniagaan tersebut.
"Restoran tersebut sudah dua kali diserbu dan dikesan menukar nama kedai. Mereka biasanya daftar menggunakan nama lain tetapi perniagaan atas nama orang lain pula," katanya.
Taktik warga Afrika yang menggunakan kesempatan mengahwini wanita tempatan sebelum membuka perniagaan terbukti berlaku di negara ini.
Terdahulu, James Musa memberitahu, 19 lelaki Nigeria itu sebahagian daripada 35 warga asing yang ditahan.
Mereka yang ditahan dalam operasi itu berusia 20 hingga 40 tahun.
Beliau berkata, turut ditahan masing-masing lima lelaki warga Bangladesh dan Myanmar serta enam wanita iaitu empat dari Thailand serta masing-masing seorang dari Uganda dan Indonesia.
Operasi bermula 12 tengah malam itu berakhir pukul 2 pagi tadi.
Kesemua yang ditahan didapati tidak memiliki sebarang pasport termasuk empat wanita Thailand dipercayai pelacur.
Kosmo! Online
Apa pendapat anda ? Jangan lupa bagi komen di bawah ni .....
No comments:
Post a Comment