Agensi itu juga meminta orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan pantai kerana bimbang akan berlaku kejadian tidak diingini ekoran daripada fenomena air pasang besar itu.
Setiausaha MKN Kelantan, Mohamad Rosle Mamat berkata, nelayan kecil dan laut dalam diminta supaya mendapatkan maklumat ramalan kaji cuaca terlebih dahulu sebelum keluar ke laut untuk mencari rezeki.
“Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran tentang fenomena air pasang besar ini, jadi kita meminta penduduk dan nelayan supaya sentiasa berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Begitu juga dengan orang ramai diminta supaya tidak menghampiri kawasan ‘gigi air’ di pantai kerana ombak besar atau fenomena ekor naga boleh berlaku pada bila-bila masa. Kalau mahu berkelah boleh tetapi jangan mandi atau menghampiri pantai.
“Bagi nelayan ke laut, kita minta mereka supaya meningkatkan tahap keselamatan serta membawa alat perhubungan bagi memudahkan komunikasi sekiranya berlaku bencana,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lebih 30 chalet dan pusat peranginan yang diusahakan penduduk tempatan di pesisir Pantai Irama hingga ke Pantai Kandis, Bachok diancam hakisan berikutan angin kencang dan ombak besar sejak tiga hari lalu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi dalam laman webnya meramalkan hujan serta ribut petir dan angin kencang dengan kelajuan 60 sehingga 70 kilometer sejam bertiup di sepanjang pantai negeri ini.
Ia juga akan menyebabkan ombak besar setinggi 5.5 sehingga 7.5 meter bermula hari ini sehingga Khamis depan.
Mohamad Rosle berkata, fenomena tersebut tidak akan memberi kesan besar sekiranya tiada hujan lebat di kawasan pedalaman.
“Setakat ini keadaan masih terkawal kerana hujan sekejap-kejap sahaja, sekiranya hujan berterusan kita bimbang akan berlaku banjir besar.
“Sehingga sekarang kita masih belum menerima sebarang aduan kerosakan atau kemalangan disebabkan ombak besar ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai hakisan pantai, beliau berkata, kawasan persisiran Pantai Kandis tidak mempunyai benteng disebabkan ia tidak terhakis sebelum ini.
“Di Kandis kita tidak membina benteng disebabkan ia tidak pernah terhakis. Kerajaan Pusat telah membina benteng di Sabak dan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu; Pulau Belongan dan Pantai Cahaya Bulan, Bachok bagi mengelak hakisan beberapa tahun lalu.
“Bagaimanapun kita akan memantau hakisan yang berlaku di kawasan tersebut untuk tindakan lanjut selepas ini,” katanya.-Utusan
Apa pendapat anda ? Jangan lupa bagi komen di bawah ni .....
No comments:
Post a Comment