Tindakan seorang warga emas mencari petai untuk dijadikan ulam berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui mati dipercayai terjatuh dari pokok berkenaan, petang kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 4 petang ketika mangsa, Othman Ismail, 68, memanjat pokok petai setinggi 10 meter itu di Kampung Sungai Batu, di sini.
Dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh penduduk bersama beberapa ikat petai berhampiran pokok berkenaan.
Anak mangsa, Faridah Othman, 43, berkata, arwah menetap bersama dua adik lelakinya, Abd Razak, 40, dan Md Radzi, 29, di Kampung Banggol Wan Matt A, di sini, dikatakan keluar rumah kira-kira jam 3.30 petang.
Menurutnya, mereka tidak membenarkan mangsa keluar jauh dari rumah kerana dia tidak begitu sihat tetapi mereka tidak menyedari arwah berjalan sejauh kira-kira satu kilometer ke kampung berhampiran untuk memetik petai.
“Memang kami terkejut apabila dimaklumkan penduduk kampung berkenaan bahawa mereka menemui arwah terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah pokok petai bersama beberapa ikat petai di sebelahnya,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Katanya, beberapa penduduk setempat terjumpa arwah terbaring di bawah pokok petai semasa mereka membersihkan kawasan berkenaan.
“Mereka mendapati arwah sudah meninggal dunia dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Baling untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, mangsa ditemui penduduk di bawah pokok petai kira-kira satu kilometer dari rumahnya.
Menurutnya, siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-Metro
Apa pendapat anda ? Jangan lupa bagi komen di bawah ni .....
No comments:
Post a Comment