“Kalau hang (awak) balik juga, mak pukul dengan kayu,” kata Zuraini Abdul Kadir, 29, gadis lembam ketika menceritakan nasibnya yang mendakwa `dibuang’ keluarganya sendiri.
Lebih malang, gadis berkenaan yang juga pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bukan saja tidak dikehendaki ibu bapanya yang sudah berpisah itu tetapi, ‘dibuang’ dengan cara menyayat hati apabila ditolak keluar dari kereta, Ahad lalu. Difahamkan, gadis berkenaan dibiarkan di tepi jalan bersama beg pakaian dekat Taman Cantik, di sini, selepas ditinggalkan ibu kandungnya bersama bapa tiri dan seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi gadis malang itu apabila seorang saudaranya yang kebetulan melalui jalan itu menemuinya sebelum membawanya pulang ke rumah mereka.
Selain itu, gadis berkenaan dikatakan bukan sekadar ‘dibuang’, tetapi wang bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan sejak dua tahun lalu dipercayai dikeluarkan keluarganya tanpa pengetahuannya berikutan dia tidak tahu menulis dan membaca.
Difahamkan juga, ibunya kini tinggal di Kulim, Kedah, manakala bapanya pula menetap di Ampang Jajar, di sini Gadis berkenaan ditemui media ketika menerima kunjungan Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Bagan, David Chua bersama pegawai JKM di rumah ibu saudaranya di Kampung Federal, di sini semalam.
Zuraini yang faham penderitaan dialaminya sesekali menitiskan air mata walaupun tidak dapat menceritakan dengan panjang lebar sejarah hidupnya itu.
“Saya sayang mak...sayang bapa, tapi mak tak sayang saya,” katanya dalam keadaan sebak.
Ibu saudaranya, Zaiton Abu Ghany, 39, berkata, Zuraini adalah anak sulung daripada empat beradik pada mulanya dijaga ibu bapanya sejak dilahirkan sebelum dihantar ke Taman Sinar Harapan Jubli, Johor Bahru ketika berusia lapan tahun sehingga gadis itu berusia 26 tahun.
Menurutnya, selepas itu dia dijaga pula ibu tirinya sebelum dihantar ke Darul Hanan di Pongsu Seribu, di sini, pada 2010. Katanya, pengurusan pusat jagaan itu menyerahkan semula gadis terbabit kepada ibu tirinya pada Julai lalu disebabkan masalah tertentu.
“Saya diberitahu dia kemudiannya diserahkan pula kepada ibu kandungnya hinggalah saya menemuinya di tepi jalan di Taman Cantik bersama beg pakaian lalu membawanya pulang ke rumah,” katanya.
Menurut Zaiton, jika diberi peluang dia boleh menjaga Zuraini tetapi rumahnya sendiri juga sempit dengan hanya sebuah bilik selain mempunyai anak lelaki yang sudah dewasa.
“Kami simpati nasibnya yang dibuang ibu bapa kandung dan tiri. Kalau saya orang senang, tentu saya akan menjaganya, tetapi masalahnya saya sendiri pun orang susah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Seberang Perai Utara, Mohd Rahim Mohd Aliff berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut mengenai kes Zuraini kerana gadis itu pernah ditempatkan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bagan Indah, di sini sebelum ke Darul Hanan.
“Setakat ini, dia masih mempunyai ibu bapa kandung serta ibu bapa tiri dan jika siasatan kami mendapati tidak diterima keluarga sendiri, kemungkinan akan ditempatkan di Rumah Perlindungan Jitra di Kedah selepas ini,” katanya. -metro
Apa pendapat anda ? Jangan lupa bagi komen di bawah ni .....
1 comment:
Nasib si gadis lembam...emmm...entahlah...
Post a Comment